Wednesday 15 February 2012

NILAI

1.      Keberanian
Keberanian Amin mendorongnya menangkap seorang pemuda yang melakukan kegiatan jenayah terhadap seorang wanita, iaitu meragut beg tangan wanita itu.
2.      Kejujuran
Amin bertindak jujur apabila mengakui perbuatannya ponteng sekolah kepadanya, Mak Jah.
3.      Bertanggungjawab
Amin memperlihatkan sikap bertanggungjawab apabila membantu pihak polis membanteras jenayah dengan menangkap seorang pemuda yang meragut beg tangan seorang wanita.
4.      Mengenang budi
Wanita yang ditolong Amin telah menghulurkan sampul surat kepada Amin serta meminta Amin menganggap pemberian tersebut sebagai hadiah kerana menolongnya. Wanita itu juga sanggup datang ke rumah Amin untuk mencari Amin yang membantunya, di samping memulangkan beg sekolah Amin yang tertinggal di balai polis.

GAYA BAHASA

Simile
·         Mukanya merah bagai udang dibakar.
Sinkope
·         “ Emak… tak ada duit sebanyak tu Amin,” jawab Mak Jah sambil merenung Amin.
Bahasa Pinjaman ( Bahasa Arab )
·         Assalamualaikum,” sapa wanita itu kepada mereka berdua. Wanita itu tersenyum kepada Amin.
 Waalaikumusalam,” jawab Mak Jah masih tertanya-tanya.

PLOT DAN TEKNIK PLOT


Binaan Plot
Permulaan
            Memperkenalkan watak Amin yang menghadapi masalah untuk membayar yuran sekolah dan yuran peperiksaan.
Perkembangan dan Perumitan
            Cikgu Arsad dan pengetua mendesak Amin supaya membayar yuran tersebut dengan segera. Akibatnya, pada keesokan harinya, lantaran bimbang akan disoal tentang hal yang berkaitan dengan yuran tersebut, Amin mengambil keputusan untuk ponteng sekolah dan pergi ke pekan. Ketika berada di pusat beli-belah di pekan, Amin telah menangkap seorang pemuda yang cuba meragut beg tangan seorang wanita. Mak Jah mengetahui perbuatan Amin ponteng sekolah. Mak Jah mengingatkan Amin tentang pesanan arwah ayahnya yang menghendakinya belajar dengan bersungguh-sungguh dan menjaganya.
Klimaks
            Wanita yang ditolong oleh Amin datang ke rumahnya. Kedatangannya menimbulkan perasaan takut kepada Amin. Wanita itu menyerahkan beg sekolah Amin yang tertinggal di balai polis. Wanita itu turut memberi sedikit pemberian sebagai hadiah kepada Amin kerana menolongnya.
Peleraian
            Amin menerima pemberian ikhlas daripada wanita itu dan menyemat azam dalam hatinya untuk meneruskan cita-citanya.

Teknik Plot
Dialog
Jazid bertanya kepada Amin tentang masalah dan kata pengetua tetapi Amin cuba menyembunyikan masalahnya.
            “ Kenapa, Min?” Tanya Jazid ketika dia berada di hadapan Amin.
                “ Tak ada apa-apa.” Amin cuba menyembunyikan masalahnya.
                “ Apa kata pengetua dengan engkau?” Jazid benar-benar ingin tahu.
                “ Sudahlah. Mari kita masuk kelas.” Amin ingin berahsia.
Imbas Muka
Amin membayangkan Cikgu Arsad akan bertanya dan memarahinya dengann lebih teruk manakala pengetua akan mengambil tindakan yang lebih keras atau melarangnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah kerana yuran peperiksaan dan yuran sekolah yang masih belum dibayarnya.
            Hari ini tentu Cikgu Arsad akan bertanya lagi perkara yang sama. Sudah hampir setengah tahun,yuran sekolah belum satu pun yang dibayar. Kali ini tentu dia akan dimarahi dengan lebih teruk lagi, malah pengetua tentu sekali akan mengambil tindakan yang keras atau dia tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.
Imbas Kembali
Ingatan Mak Jah kepada Amin terhadap pesanan arwah suaminya agar Amin belajar dengan bersungguh-sungguh dan membela kehidupan ibunya.
            “ Amin belajarlah bersungguh-sungguh dan belalah kehidupan ibumu, Min.”
  Itulah pesan Pak Akob kepada Amin.
Monolog Dalaman
Amin berkata-kata dalam hatinya tentang pertanyaan wanita yang ditolongnya ketika mereka berada di balai polis.
            “ Banyak tanya pula wanita ini,” kata hatinya.
Amin menyemat azam dalam hatinya untuk meneruskan cita-cita setelah wanita yang dibantunya beredar dari halaman rumahnya.
            Dalam hatinya tersemat, “ Aku akan teruskan cita-citaku.”

LATAR


Latar Tempat
1.      Rumah Mak Jah
(a)    Amin memberitahu Mak Jah tentang yuran sekolah dan yuran peperiksaan yang masih belum dibayar tetapi Mak Jah tidak mempunyai wang tersebut.
(b)   Seorang wanita yang dibantu oleh Amin ketika dia berada di pekan dating ke rumah Amin untuk menyerahkan pemberian hadiah sebagai tanda terima kasih kerana menolongnya.
2.      Sekolah
Tempat Amin belajar. Peristiwa Amin ditegur oleh Cikgu Arsad dan pengetua kerana masih belum membayar yuran peperiksaan dan yuran sekolah berlaku di sekolah.

3.      Pekan
Amin mengambil keputusan untuk ponteng sekolah disebabkan bimbang akan disoal oleh Cikgu Arsad dan pengetua tentang yuran sekolah dan yuran peperiksaan yang masih belum dibayar, pergi ke pekan, seterusnya pergi ke pusat beli-belah, iaitu satu-satunya pasar raya yang ada di pekan itu. Dia berhenti di hadapan pintu kedai video games. Di sinilah dia menangkap seorang pemuda yang melakukan kegiatan jenayah terhadap seorang wanita.
4.      Balai polis
Pemuda yang ditangkap oleh Amin disoal siasat oleh pihak polis manakala Amin disuruh duduk. Ketika inilah wanita yang ditolong oleh Amin bercakap dengannya.
Latar Masa
1.      Waktu pagi
~ Peristiwa ibu Amin, iaitu Mak Jah mengejutkan Amin daripada tidur untuk pergi ke sekolah.
~ Sambil membutangkan baju seragamnya, Amin memberitahu ibunya tentang yuran sekolah dan yuran peperiksaan yang masih belum dibayar.
~ Peristiwa Cikgu Arsad dan pengetua bertanyakan Amin tentang yuran sekolah dan yuran peperiksaan yang masih belum dijelaskan.
2.      Jarak masa
~ Latar masa cerita ini berlaku dalam masa dua hari. Amin berada di sekolah dan Cikgu Arsad serta pengetua bertanyakan yuran sekolah dan yuran peperiksaan yang masih belum dibayar.
~ Keesokannya, Amin tidak pergi ke sekolah kerana takut akan dimarahi oleh Cikgu Arsad dan pengetua kerana masih tidak dapat menjelaskan yuran tersebut. Amin yang dikuasai perasaan gementar mengambil keputusan untuk ponteng sekolah dan pergi ke pekan. Ketika berada di pusat beli-belah di pekan inilah Amin telah membantu seorang wanita dengan menangkap seorang pemuda yang cuba meragut beg tangan wanita tersebut.
~ Pada hari yang sama juga, iaitu setelah Amin sampai di rumah setelah meninggalkan balai polis, wanita yang dibantu oleh Amin dating ke rumahnya untuk memulangkan beg sekolah Amin yang tertinggal di balai polis, di samping memberi sedikit bantuan kewangan kepada Amin.
Latar Masyarakat
1.      Golongan masyarakat
Memfokuskan golongan muda seperti Amin dan Jazid. Terdapat juga golongan tua seperti Cikgu Arsad, pengetua dan ibu Amin, Mak Jah.
2.      Pekerjaan masyarakat
Pelbagai pekerjaan masyarakat seperti murid, guru, pengetua dan pegawai polis. Amin dan Jazid ialah murid sekolah manakala Cikgu Arsad ialah seorang guru.


3.      Kategori masyarakat
Memfokuskan masyarakat yang tinggal di kawasan pinggir sebuah pekan. Contohnya, keluarga Amin. Turut menceritakan keadaan masyarakat di sebuah pekan kerana Amin membantu seorang wanita yang menjadi mangsa jenayah oleh seorang pemuda.
4.      Bangsa/agama
Memfokuskan masyarakat berbangsa Melayu dan beragama Islam.
5.       Masyarakat kampung yang hidup sederhana
Mengetengahkan golongan masyarakat kampung yang hidup sederhana. Contohnya, Mak Jah meghadapi kepayahan untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran sekolah dan yuran peperiksaan Amin. Kehidupannya susah kerana telah kematian suami.
6.      Masyarakat yang mengenang budi
Wanita yang dibantu oleh Amin telah memberi zumbangan kepada Amin sehingga Amin boleh meneruskan cita-citanya.

WATAK DAN PERWATAKAN


Watak Utama
Amin
·         Amin ialah murid tingkatan 3 dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Dia tinggal bersama ibunya, Mak Jah dan ayahnya telah meninggal dunia.
Perwatakan
1.      Patuh
Amin patuh akan arahan ibunya supaya bersiap-siap ke sekolah. Dia bingkas bangun dan pergi ke perigi untuk mandi sebelum pergi ke sekolah.

2.      Berani
Amin bertindak berani apabila menangkap pemuda yang cuba melakukan kegiatan jenayah terhadap seorang wanita ketika dia berada di pusat beli-belah di pekan.

3.      Pemalu
Amin hanya mendiamkan diri dan tidak bercakap banyak apabila ditanya oleh wanita yang ditolongnya ketika mereka berada di balai polis. Akibatnya, dia meninggalkan wanita itu dan pulang ke rumah.

4.      Jujur
Amin tidak berdalih dengan Mak Jah apabila ibunya bertanya kepadanya sama ada dia ponteng sekolah atau tidak. Dia mendiamkan diri dan tidak berbohong dengan Mak Jah.

5.      Penyayang
Perasaan saying Amin terhadap ibunya menyebabkannya berasa serba salah apabila dia ponteng sekolah.
Watak Sampingan
Mak Jah
·         Mak Jah ialah ibu kepada Amin. Suaminya, Pak Akob telah meninggal dunia. Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan sehingga tidak mempunyai wang untuk membayar yuran sekolah dan yuran peperiksaan Amin.
Perwatakan
1.      Penyayang
Mak Jah amat  menyayangi anak tunggalnya, Amin. Dia berusaha mencari wang untuk membayar yuran sekolah dan yuran peperiksaan Amin.

2.      Tabah
Mak Jah tabah menghadapi hidup dalam keadaan miskin. Hidupnya bersama anaknya di kampung serba sederhana ditambah pula dengan ketiadaan suaminya.

3.      Menghormati tetamu
Mak Jah mempersilakan wanita yang dating ke rumahnya masuk ke rumah setelah wanita itu menyatakan tujuan kedatangannya adalah untuk bertemu dengan Amin.

4.      Mementingkan ilmu
Mak Jah tidak menyenangi tindakan Amin yang ponteng sekolah. Lantaran itu, dia mengingatkan Amin tentang pesanan arwah ayahnya supaya belajar dengan bersungguh-sungguh.